SITI ZUHAIRAH ALYA BINTI ZAHARAN KOLEJ VOKASIONAL KUANTAN
Pembelajaran menggunakan bahan bantu mengajar sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di peringkat Kolej Vokasional (KV). Hal ini kerana pelajar KV lebih terarah kepada domain psikomotor. Aktiviti yang melibatkan ‘hands-on’ dapat membantu pelajar lebih memahami konsep dalam perakaunan. Proses perakaunan dilaksanakan menggunakan langkah-langkah perekodan urus niaga dari tempoh urus niaga bermula sehingga penyediaan penyata kewangan. Penyediaan catatan jurnal merupakan salah satu langkah dalam kitaran perakaunan. Pelajar sangat rajin membuat amali perakaunan tetapi mereka selalu bermasalah pada penyediaan catatan jurnal sehingga menyebabkan imbangan duga tidak imbang dan mempengaruhi penyediaan Penyata Pendapatan dan Penyata Kedudukan Kewangan. Melalui penilaian lepas, didapati 60% pelajar tidak memahami konsep penyediaan catatan jurnal. Kaedah pengajaran dan pembelajaran di KV memerlukan transformasi bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif sekaligus memahami konsep penyediaan catatan jurnal. Dalam inovasi ini, satu bahan bantu mengajar dihasilkan bagi membantu meningkatkan kefahaman pelajar dalam modul BAK3012 Penggajian. Dalam mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan menyeronokkan kami telah menggunakan teknik Warna Warni Gaji iaitu berdasarkan warna asas untuk menyediakan catatan jurnal penggajian dengan tepat dan cepat tanpa ada kekeliruan semasa menjawab soalan catatan jurnal berkaitan penggajian. Teknik Warna Warni Gaji digunakan sebagai bahan bantu mengajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran bagi kompetensi jadual gaji. Penerapan konsep asas penyediaan catatan jurnal penggajian dengan teknik Warna Warni Gaji dapat membantu dan memupuk minat pelajar untuk belajar Perakaunan tanpa kekeliruan.