SYAHIR SYAMIL BIN SUHARDI MRSM Mukah
Buletin Master Kalkulator ialah inovasi bahan bantu belajar bercetak yang direka untuk meningkatkan kecekapan pelajar menggunakan kalkulator saintifik Casio fx-570EX Classwiz dalam topik Angka Bererti dan Bentuk Piawai. Kajian tindakan melibatkan 62 orang pelajar Tingkatan 3 mendapati majoriti hanya menguasai fungsi asas kalkulator dan mengambil masa lama untuk menyelesaikan soalan pengiraan. Selepas intervensi menggunakan buletin bergrafik dan berstruktur ini, sebanyak 79.6% pelajar berjaya menamatkan ujian pasca dalam masa kurang daripada 7 minit, berbanding hanya sebilangan kecil dalam ujian pra, manakala markah purata turut meningkat secara signifikan dengan ramai pelajar memperoleh markah penuh. Inovasi ini membuktikan keberkesanan pendekatan visual dan sistematik dalam membantu pelajar menguasai alat teknologi penting untuk peperiksaan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan: SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 9 (Inovasi Pendidikan) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).