ABDUL ALIM BIN MAZLAN IPG KAMPUS KENT, TUARAN
SmartBoard Zon Waktu Antarabangsa 2.0 (SmartBoard ZoWA 2.0) merupakan inovasi pendidikan Matematik yang dibangunkan khusus untuk meningkatkan kefahaman murid terhadap topik Masa dan Waktu dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Matematik Tahun 6. Inovasi ini merupakan evolusi daripada Kit ZoWA kepada SmartBoard ZoWA, dan kini kepada versi SmartBoard ZoWA 2.0. Pada peringkat awal, Kit ZoWA membantu murid memahami konsep perbezaan masa antara negara melalui aktiviti konkrit menggunakan bahan manual. Berdasarkan dapatan penggunaannya, guru mendapati murid lebih mudah memahami asas penentuan zon masa, namun masih memerlukan pendekatan yang lebih interaktif dan berunsur teknologi. Justeru, SmartBoard ZoWA diperkenalkan dengan mengintegrasikan teknologi Edu:Bit dan paparan peta dunia bagi menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, bermakna serta selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21. Kini, SmartBoard ZoWA 2.0 dihasilkan selepas proses penambahbaikan berasaskan maklum balas guru dan keperluan pembelajaran digital semasa. Inovasi ini mengekalkan komponen utama seperti Syarat ZoWA, Bulatan Masa, Edu:Bit, dan Peta Dunia, namun ditambah baik dengan versi digital yang diprogramkan menggunakan python dan boleh diakses dalam talian bagi memudahkan guru dan murid menggunakannya di mana-mana sahaja. Penggunaan papan versi asal masih dikekalkan untuk pembelajaran fizikal, tetapi penekanan diberikan kepada versi digital yang lebih fleksibel, mudah diakses dan sesuai dalam pelbagai konteks pembelajaran. Melalui versi digital ini, murid dapat menggunakan Edu:Bit secara dalam talian bagi menentukan masa antara dua negara, mengenal pasti perbezaan masa, serta mengaplikasikan konsep anu dalam pengiraan masa dunia dengan lebih jelas dan menyeronokkan.