MOHD SYAZWAN ZAINAL MAKMAL PEMBELAJARAN AUTISME
Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), khususnya murid Autisme sering menghadapi cabaran dalam menguasai kemahiran motor halus seperti kekuatan otot jari, koordinasi tangan serta kawalan pergerakan, di samping kelemahan kognitif melibatkan diskriminasi visual dan padanan warna. Kelemahan ini bukan sahaja menjejaskan persediaan mereka terhadap aktiviti pra-menulis, malah turut mempengaruhi penglibatan konsisten dalam proses pembelajaran. Bagi menangani isu ini, inovasi Connect2Cap 2.0 dibangunkan sebagai bahan bantu mengajar mesra Autisme yang berasaskan keperluan mengukuhkan otot jari serta menyokong perkembangan kognitif melalui aktiviti padanan warna, dengan penambahbaikan tahap kesukaran berbanding versi terdahulu iaitu Connect2Cap 1.0. Kajian keberkesanan dijalankan melalui pemerhatian sistematik terhadap dua orang MBPK Autisme berumur empat hingga lima tahun dalam tempoh enam minggu. Instrumen yang digunakan ialah senarai semak bagi tempoh sebelum dan selepas intervensi untuk menilai kebolehan murid melakukan padanan warna pada penutup melalui aktiviti meregangkan gelang getah mengikut tiga kategori warna, iaitu merah, kuning dan biru. Selain itu, temubual juga dilaksanakan terhadap guru bagi mendapatkan maklum balas kesan penggunaan Connect2Cap 2.0 ini. Dapatan kajian menunjukkan peningkatan konsisten dalam keupayaan kedua-dua murid melaksanakan padanan warna, manakala maklum balas guru turut menegaskan keberkesanan inovasi ini dalam sesi pengajaran. Secara keseluruhannya, Connect2Cap 2.0 bukan sahaja membantu menguatkan otot jari dan meningkatkan fokus MBPK, malah berpotensi diaplikasikan kepada murid tipikal prasekolah dengan pengubahsuaian mengikut tahap kebolehan murid dan kreativiti guru. Pada masa ini, produk ini sedang melalui proses pendaftaran perlindungan harta intelek di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menegaskan sumbangannya dalam memperkukuh potensi MBPK melalui pendekatan pembelajaran yang positif dan inklusif.