NURUL SYUHADA BINTI MOHAMAD RAZALI KOLEJ VOKASIONAL KUANTAN
abLEH BOX adalah inovasi yang digunakan oleh pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan Semester satu Kolej Vokasional Kuantan. Inovasi ini diaplikasikan dalam pengajaran topik Imbangan Duga kursus DBF1153, Prinsip Perakaunan. Imbangan duga merupakan pindahan baki Debit dan Kredit yang terkini daripada lejar. Baki ini ialah baki bawa bawah (b/b) yang dibawa ke bulan atau tahun seterusnya. Jika baki terkini di sebelah Debit, maka pindahan juga di sebelah Debit. Terdapat empat fungsi imbangan duga iaitu menyemak ketepatan catatan bergu, menyemak ketepatan pengiraan dalam buku catatan pertama dan lejar, menyemak ketepatan proses pemindahan daripada buku catatan pertama ke dalam lejar dan seterusnya memudahkan penyediaan penyata kewangan. Sebelum inovasi abLEH BOX digunakan, pelajar menghadapi masalah untuk menentukan dengan tepat debit atau kredit baki- baki akhir dari lejar aset, belanja, liabiliti, ekuiti pemilik dan hasil ke dalam Imbangan Duga. Pelajar juga memerlukan tempoh masa yang panjang untuk menyelesaikan latihan topik ini. Pensyarah pengurusan perniagaan telah mecipta satu aplikasi yang dikenali sebagai abLEH BOX. Aplikasi abLEH BOX dibangunkan menggunakan perisian Microsoft Excel. abLEH adalah singkatan bagi aset semasa dan aset bukan semasa (a), belanja (b), Liabiliti bukan semasa dan Liabiliti semasa (L), Ekuiti pemilik (E) dan Hasil (H). Aplikasi abLEH BOX dapat membantu pelajar menentukan lajur Debit atau Kredit dengan tepat semasa menyediakan imbangan duga. Selain itu, inovasi ini juga dapat membantu pelajar meningkatkan kefahaman mengenai aset, liabiliti dan juga ekuiti pemilik di samping dapat menjimatkan masa menjawab. Inovasi ini telah dijalankan kepada 18 orang pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan semester satu. Pensyarah telah menjalankan ujian pra dan post bagi melihat keberkesanan inovasi abLEH BOX. Hasil daripada ujian pra dan post yang telah dijalankan, pelajar telah menunjukkan peningkatan markah semasa menjawab soalan topik imbangan duga apabila mereka menggunakan inovasi abLEH BOX berbanding sebelum menggunakan inovasi tersebut. Pelajar telah dapat menentukan lajur Debit dan Kredit dan menyelesaikan soalan dalam tempoh masa yang lebih singkat berbanding sebelum menggunakan inovasi abLEH BOX. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar memahami item yang sewajarnya diletakkan di lajur Debit dan Kredit. Sebagai pelajar Pengurusan Perniagaan Kolej Vokasional, adalah wajar untuk mereka menguasai kemahiran menyediakan Imbangan Duga dan Perakaunan yang betul dan tepat. Ini dapat menjadi nilai tambah kepada pelajar untuk bersaing dalam pasaran kerja dan meningkatkan kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional di Malaysia.