AMNI AMSYAR IHDINA BINTI KHAIRUL AZMI SK KETENGAH JAYA II
Inovasi : Minyak Ajaib 3 Daun
ABSTRAK
Murid sekolah rendah sering terdedah kepada kecederaan kecil seperti luka calar, melecet, dan gigitan serangga, terutamanya ketika bermain atau menjalani aktiviti luar. Rawatan segera amat penting bagi mengelakkan jangkitan serta mempercepatkan proses penyembuhan. Namun, kebanyakan rawatan moden menggunakan bahan kimia yang mungkin kurang sesuai untuk kulit sensitif kanak-kanak yang boleh menyebabkan iritasi dan keradangan kulit.
Sehubungan itu, inovasi “Minyak Ajaib 3 Daun” diperkenalkan. Produk ini menggabungkan tiga herba tradisional iaitu daun kapal terbang, daun jambu batu, dan serai wangi serta minyak kelapa. Ia mudah dibuat, selamat digunakan, murah serta berfungsi sebagai rawatan luka kecil secara semula jadi. Ia juga mesra alam dan tidak membahayakan kesihatan.
Minyak ini sesuai untuk murid sekolah rendah malah setiap peringkat umur. Inovasi ini menggabungkan daun kapal terbang, daun jambu batu, serai wangi, dan minyak kelapa sebagai bahan utama yang selamat, dan sesuai untuk luka kecil seperti calar, melecet, atau gigitan serangga.
Secara saintifiknya daun kapal terbang bersifat hemostatik yang dapat menghentikan pendarahan dan antiseptik. Daun jambu batu pula mengandungi tanin untuk mengetatkan tisu luka. Serai wangi mempunyai sifat antiradang dan antibakteria manakala minyak kelapa dapat melembapkan kulit.
Minyak ini telah dipasarkan dan digunakan oleh murid-murid dan guru-guru di sekolah malah turut dijual kepada ibu bapa. Maklumbalas pengguna mengatakan bahawa minyak ini sangat berkesan untuk menghilangkan gatal-gatal, menutup luka kecil dan juga bersifat berangin yang boleh menghilangkan stres. Pada masa akan datang ia akan dipasarkan ke peringkat yang lebih meluas kepada masyarakat.
Kata kunci : minyak,daun jambu batu, daun kapal terbang, serai wangi, rawatan