Dr. Mohd Nizwan Musling Universiti Sains Islam Malaysia
Sumber autentik dalam penggubalan tatabahasa Arab adalah terdiri daripada tiga sumber naqli (melalui periwayatan), iaitu: Al-Quran (termasuk Qiroaat Quraaniyah), Hadith, dan ungkapan orang Arab asli sama ada puisi atau prosa yang dihasilkan dalam kurun ke-2 Hijrah ke bawah. Dalam setiap sumber ini, terdapat beberapa penggunaan bahasa yang melanggar tatabahasa yang digubal yang dikenali sebagai ‘ungrammatical sentence’. Situasi ini menimbulkan pelbagai reaksi dan tafsiran negatif sehingga dalam kalangan sarjana silam sintaks Bahasa Arab, apatah lagi golongan orientalis seperti John Burton (1988), Newton dan M. Rafiqul-Haqq (1996) untuk mendakwa adanya kesilapan tatabahasa dalam kitab suci umat Islam. Maka, untuk menjawab kenyataan ini, satu model analisis linguistik Arab dibangunkan beradaptasikan Teori Optimaliti oleh Prince dan McCarthy (1993), yang bertitik tolak dengan prinsip utamanya iaitu tatabahasa bukan suatu undang-undang wajib patuh (rules), tetapi ia adalah kekakangan (constraints) yang boleh dipatuhi dan diingkari. Setelah proses adaptasi, terdapat dua jenis optimiliti perlu diletakkan dalam kerangka analisis ‘ungrammatical’ struktur bahasa Arab sumber, iaitu Optimiliti Penggunaan dan Optimiliti Ketatabahasaan. Ia bagi mengukur sejauh mana tatatingkat pelanggaran tatabahasa atau kepatuhan struktur ayat tersebut terhadap elemen-elemen optimiliti (aqli). Melalui analisis ini juga, struktur bahasa itu akan disokong dengan jenis bahan bahasa Arab sumber yang lain (naqli), dan dikenalpasti sama ada pelanggaran tersebut merupakan suatu proses perkembangan bahasa Arab sebagaimana yang berlaku pada bahasa-bahasa yang serumpunnya (Semitic Languages), atau melibatkan elemen semantic/makna yang ingin disampaikan oleh penutur kepada pendengar sasaran. Maka, diharapkan model ini menjadi satu pendekatan analisis linguistik yang lebih mesra kepada bahasa, mengharmonikan sudut pandang dan intepretasi negatif kepada penggunaan bahasa Arab sumber yang bertentangan dengan tatabahasa, seterusnya menjawab tohmahan golongan orientalis atau mereka yang mendakwa wujudnya kelemahan atau kesilapan tatabahasa dalam Al-Quran khususnya.