NUR'IZZATI AQIRAH BINTI AMRAN KOLEJ VOKASIONAL TANJUNG PUTERI
Inovasi i-4P Dashboard dibangunkan bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan 4P (Pementoran, Pemantauan, Penyelarasan dan Pengesanan) di kolej vokasional. Sebelum ini, proses pelaporan dijalankan menggunakan borang bercetak yang memerlukan masa lama untuk dikumpul, disemak dan dianalisis secara manual. Kaedah tersebut bukan sahaja melambatkan tindakan susulan, malah meningkatkan risiko kehilangan data dan ketidakselarasan rekod. Inovasi i-4P Dashboard merupakan penyelesaian digital bersepadu yang menggabungkan Google Forms, Google Sheets, Looker Studio serta notifikasi automatik Telegram bagi membolehkan proses perekodan, analisis dan paparan data dilakukan secara masa nyata. Ia turut menampilkan fungsi Intelligent Summary, iaitu keupayaan analisis pintar yang menghasilkan rumusan automatik, interpretasi data serta cadangan intervensi awal untuk mempertingkat keberkesanan pemantaua. Selepas pengguna melengkapkan borang digital, data dipaparkan dalam bentuk dashboard interaktif yang mesra pengguna serta mudah difahami oleh pihak pemantau dan pengurusan. Kaedah pembangunan menekankan penggunaan platform digital sedia ada beserta kos yang efektif tanpa memerlukan pembangunan perisian baharu. Hasil pelaksanaan menunjukkan i-4P Dashboard berjaya memendekkan masa proses pelaporan daripada beberapa hari kepada masa nyata, sekaligus meningkatkan ketepatan data serta keberkesanan tindakan susulan. Notifikasi automatik memastikan pemantauan dilaksanakan mengikut jadual sepanjang minggu, mengurangkan kelewatan serta meningkatkan tahap pematuhan. Data soal selidik kepuasan pengguna juga menunjukkan lebih 90% responden berpuas hati dengan keberkesanan sistem ini dari aspek aksesibiliti, kemudahan penggunaan dan kebolehpercayaan. Inovasi ini memberi impak positif terhadap amalan pengurusan kualiti di Kolej Vokasional Tanjung Puteri kerana ia menyokong budaya kerja berasaskan data, memudahkan proses pengesahan oleh ketua jaminan kualiti, serta boleh diubah suai mengikut keperluan organisasi lain. Secara keseluruhannya, i-4P Dashboard merupakan penyelesaian digital efektif yang menggantikan sistem manual berasaskan cetakan sekaligus memperkukuh sistem pentaksiran dan penilaian pendidikan teknikal secara menyeluruh. Inovasi ini telah berjaya dilaksanakan di Kolej Vokasional Tanjung Puteri dengan keberkesanan yang terbukti dalam pelaksanaan 4P.