DING HONG JEN SJKC BANDAR SUNGAI LONG
Semasa menulis karangan cerita, kebanyakan murid sekolah rendah sering menghadapi masalah seperti kekurangan idea dan kosa kata untuk memulakan atau mengembangkan cerita. Sehubungan dengan itu, murid juga sukar untuk menyusun idea-idea dalam urutan yang teratur tanpa kerangka yang diberikan oleh guru. Tambahan pula, kekurangan penanda wacana yang sesuai juga boleh menyebabkan peralihan antara idea dalam cerita tidak lancar.
Masalah ini telah menyebabkan karangan menjadi pembelajaran yang sukar difahami. Hal ini telah meninggalkan kesan negatif terhadap murid dan menyebabkan mereka tidak suka menulis karangan. Oleh itu, satu projek menulis diperkenalkan untuk memupuk minat murid untuk menulis karangan cerita. Dalam projek ini, teknik CaSBaPT dicipta dan digunakan untuk membantu murid menulis karangan dengan langkah yang bersistematik agar mereka dapat menghasilkan karangan yang menarik dan kreatif.
Teknik CaSBaPT mempunyai lima langkah yang dapat membantu murid menghasilkan karangan dengan membina rangka dan kerangka karangan. Langkah-langkah ini termasuklah catat, susun, bahagi, penanda wacana dan tulis. Antaranya, langkah pertama, Catat (Ca), membantu murid untuk membina rangka karangan. Langkah kedua dan ketiga Susun (S) dan Bahagi (Ba) pula membantu murid membina kerangka karangan yang lengkap. Dengan penggunaan langkah keempat iaitu Penanda Wacana (P), dapat menjadikan karangan lebih lancar. Melalui langkah terakhir Tulis (T), murid dapat memahami struktur ayat yang betul. Dalam projek menulis cerita ini, seramai 200 orang murid telah mengaplikasikan teknik ini. Impaknya, semua murid telah dimanfaatkan dan berkemampuan menulis karangan cerita dengan penggunaan teknik CaSBaPT.
Kesimpulannya, teknik CaSBaPT berkesan dalam membantu murid menulis karangan cerita dengan lebih langkah yang teratur. Teknik ini juga dapat digunakan dalam bahasa lain seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Dengan panduan teknik CaSBaPT, murid berupaya menghasilkan penulisan yang lebih logik dan bermutu.