PRV478: KIT MYOFOLD ORIGAMI 2.0

AZIEMAH BINTI SHAFII KOLEJ MATRIKULASI SELANGOR

Kit Origami Myofold 2.0 telah dibangunkan untuk membantu meningkatkan pemahaman pelajar terhadap subtopik mekanisme pengecutan otot dalam kursus Biologi SB025. Inovasi ini diperkenalkan susulan dapatan awal daripada ujian diagnostik yang menunjukkan bahawa 82.5% pelajar daripada kumpulan 33 responden dalam Modul 1 Program Sistem Dua Semester di Kolej Matrikulasi Selangor gagal mencapai keputusan cemerlang dalam topik ini. Temu bual lanjut mendedahkan bahawa pelajar menghadapi kesukaran dalam mengenal pasti komponen struktur sarkomer dan sukar memahami urutan proses pengecutan otot berdasarkan ‘Sliding Filament Theory’. Kit Origami Myofold 2.0 merupakan alat pembelajaran inovatif secara hands-on yang membolehkan pelajar membina dan mensimulasi model origami yang mewakili sarkomer. Kaedah ini menggalakkan pembelajaran aktif serta meningkatkan pemahaman melalui penglibatan visual dan kinestetik. Objektif inovasi ini adalah untuk memperkukuh keupayaan pelajar mengenal pasti struktur otot, meningkatkan kefahaman serta ingatan terhadap urutan pengecutan otot, dan menyediakan bahan bantu mengajar yang kreatif serta berkesan kepada para pendidik. Apa yang menjadikan kit ini unik adalah model berasaskan origami yang menukarkan kandungan abstrak dalam buku teks kepada pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif. Penghasilannya melibat kos yang rendah, mesra pelajar, dan menyokong pelbagai gaya pembelajaran. Pelaksanaan Kit Origami Myofold 2.0 telah berjaya mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih menarik. Ia juga dapat meningkatkan penglibatan keseluruhan pelajar serta menggalakkan kerjasama dalam kalangan ahli kumpulan. Aktiviti secara hands on ini membolehkan pelajar memahami konsep dengan lebih mendalam dan berkesan.Versi Kit Origami Myofold 2.0 ini telah dipertingkatkan daripada versi sebelumnya dengan penambahan bahan sokongan digital, sekaligus meningkatkan potensi pengkomersialan yang kukuh. Kit ini juga boleh diperluas penggunaannya dalam program STPM, kursus biologi di peringkat universiti serta program jangkauan STEM. Inovasi ini menawarkan penyelesaian yang berskala dan mampan dalam usaha memperkasakan pendidikan biologi.