Ts. MOHAMAD ZULFIKRIE BIN MOHD ZAKI KOLEJ VOKASIONAL KUANTAN
Projek ini bertujuan untuk membangunkan Sistem Smart Hidroponik berasaskan Internet of Things (IoT) dan tenaga hijau bagi diaplikasikan di kawasan masjid sebagai langkah ke arah pengurusan tenaga dan air yang lebih lestari. Sistem ini menggabungkan panel solar, turbin air, Auto Charge Regulator, inverter, ESP32, pam air, sensor, relay dan LED Grow Light bagi membolehkan kawalan dan pemantauan automatik melalui aplikasi Blynk. Tenaga elektrik dijana daripada sumber solar dan turbin air sebelum disimpan dalam bateri dan digunakan bagi mengoperasikan pam serta pencahayaan tanaman. Selain itu, air wuduk yang digunakan di masjid dikitar semula untuk penyiraman tanaman hidroponik, sekali gus mengurangkan pembaziran air.
Kaedah pembangunan projek ini menggunakan Model ADDIE (Analysis, Design, Development, Implementation, Evaluation) yang merangkumi proses analisis keperluan, reka bentuk litar dan aplikasi, pembangunan sistem, ujian lapangan serta penilaian keberkesanan sistem. Hasil ujian dijangka menunjukkan sistem ini mampu mengurangkan penggunaan elektrik masjid, menjimatkan air wuduk sehingga 35%, serta meningkatkan kecekapan penjagaan tanaman secara automatik.
Projek ini bukan sahaja menyokong konsep pertanian pintar dan tenaga boleh diperbaharui, tetapi juga berpotensi dikomersialkan sebagai kit hidroponik pintar untuk kegunaan rumah dan komuniti. Secara keseluruhannya, integrasi teknologi IoT dan tenaga hijau dalam sistem hidroponik ini dapat meningkatkan kecekapan sumber, mengurangkan kos operasi, serta menyumbang kepada pembangunan komuniti mesra alam dan lestari.