NUR KHADEEJA IMANI BT MOHD KHAIRUL NIZAM SEKOLAH KEBANGSAAN JAWI
Penyakit batu karang buah pinggang semakin meningkat dan boleh menyebabkan kesakitan teruk, pendarahan serta kegagalan fungsi buah pinggang jika tidak dikesan awal. Kaedah ultrasound merupakan pilihan utama untuk diagnosis kerana ia selamat, pantas dan tanpa radiasi. Namun begitu, latihan bagi doktor dan pelajar perubatan masih terhad disebabkan kekurangan model latihan yang realistik serta kos yang sangat tinggi. Projek SonoKidney 3D dibangunkan bagi menghasilkan model buah pinggang bercetak 3D dengan batu karang tiruan yang murah, realistik, dan sesuai untuk latihan ultrasound. Model ini diperbuat daripada campuran gelatin, agar, gliserol dan kalsium karbonat yang meniru sifat akustik tisu manusia. Batu tiruan diletakkan di dalam model bagi menghasilkan imej ultrasound yang menunjukkan hyperechoic reflection, posterior acoustic shadowing dan twinkling artifact seperti dalam pesakit sebenar. Ujian menggunakan B-mode dan A-scan ultrasound menunjukkan model ini mempunyai kelajuan bunyi 1542 m/s, hampir sama dengan tisu manusia sebenar. Batu tiruan bersaiz antara 0.65 hingga 1.35 cm dapat dikesan dengan jelas. Kesimpulannya, SonoKidney 3D merupakan inovasi berimpak tinggi yang dapat digunakan untuk pendidikan perubatan, latihan diagnostik dan pembelajaran STEM, dengan kos rendah serta kebolehgunaan semula yang tinggi.