PNR424: SonoThyroid 3D – Model Tiroid 3D Bercetak Untuk Latihan Ultrasound Dan Biopsi.

NUR AISYA IMANI BT MOHD KHAIRUL NIZAM SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SERI NIBONG

K3IC25 | Pioneer Innovator

CR: 0.0952 | 4 Likes | 42 Views | 39 times | LS: 43.4
Like it? | Support them now!

Kelenjar tiroid ialah organ kecil berbentuk rama-rama yang terletak di leher dan berfungsi mengawal pertumbuhan, metabolisme serta tenaga badan. Kemunculan nodul tiroid adalah perkara biasa, dan prosedur standard untuk diagnosis ialah menggunakan ultrasound bersama biopsi jarum halus (FNAB). Namun begitu, alat latihan yang selamat dan mampu milik masih terhad. Model latihan tiroid komersial memang wujud, tetapi harganya sangat mahal sehingga mencecah RM23,000 seunit dan kebanyakannya tidak meniru sifat sebenar tisu manusia. Oleh itu, wujud keperluan untuk menghasilkan model tiroid 3D yang murah, meniru tisu manusia, serta boleh digunakan untuk pengimejan ultrasound dan latihan biopsi.

Dalam projek ini, model tiroid direka bentuk menggunakan perisian ZBrush dan dicetak dengan pencetak 3D. Dua jenis resin (fleksibel dan keras) telah dicetak, manakala acuan silikon disediakan untuk diisi dengan campuran gelatin–gliserol bagi menghasilkan model lembut menyerupai tisu. Semua model diuji menggunakan mesin ultrasound dan prosedur biopsi jarum halus. Nilai halaju akustik bagi setiap bahan diukur dan dibandingkan dengan tisu tiroid sebenar (~1500 m/s). Model gelatin–gliserol menunjukkan nilai halaju akustik kira-kira 1538 m/s, paling hampir dengan tisu sebenar, serta menghasilkan imej ultrasound yang jelas dan sesuai digunakan untuk latihan biopsi. Resin fleksibel pula menunjukkan nilai halaju akustik sekitar 1800 m/s dan memberikan imej yang jelas, manakala resin keras dengan halaju akustik lebih tinggi sekitar 2700 m/s menghasilkan imej kurang realistik tetapi mempunyai ketahanan yang baik untuk kegunaan berulang.

Kesimpulannya, SonoThyroid 3D berjaya membuktikan bahawa bahan murah (lebih kurang RM85) boleh digunakan untuk menghasilkan model tiroid yang berkesan serta boleh digunakan semula untuk tujuan latihan ultrasound dan biopsi, dengan penjimatan kos lebih 95% berbanding model komersial. Inovasi ini memberikan manfaat besar dalam bidang pendidikan perubatan, latihan klinikal, dan juga pembelajaran STEM di sekolah, membuktikan bahawa bahan mudah juga mampu menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi dalam bidang kesihatan.