NAWINESAN A/L M.GURUNATHAN SJKT MAHA GANESA VIDDYASALAI
Inovasi Kit-Ad Tif ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan dan penggunaan kata adjektif dalam kalangan murid sekolah rendah melalui pendekatan yang lebih interaktif dan menyeronokkan. Kajian mendapati bahawa ramai murid menghadapi kesukaran dalam mengenal pasti serta menggunakan kata adjektif secara tepat dalam ayat. Oleh itu, satu inovasi telah dibangunkan iaitu penggunaan Kit Ad-Tif yang mengandungi lima stesen. Setiap stesen dalam Kit Ad-Tif mempunyai pendekatan yang menyeronokkan bagi meningkatkan minat murid secara aktif dalam proses PdPC Bahasa Melayu. Kit Ad-Tif juga menepati aspek manual dan digital secara luas supaya pengguna dapat menggunakan kit ini secara mesra sekaligus murid dapat memahami sembilan jenis kata adjektif berserta fungsinya dengan sempurna. Kaedah ini dilaksanakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu Tahun 2 dan Tahun 5 di sebuah sekolah rendah. Hasil pelaksanaan menunjukkan peningkatan yang ketara dalam pemahaman dan penggunaan kata adjektif oleh murid, di samping meningkatkan minat mereka terhadap subjek Bahasa Melayu. Inovasi ini bukan sahaja membantu golongan murid yang berbeza dalam aspek tatabahasa, tetapi turut menyokong pengajaran guru melalui bahan bantu mengajar yang kreatif dan mudah digunakan. Secara keseluruhannya, inovasi ini berjaya memberi impak positif dalam memperkukuh penguasaan kata adjektif dalam kalangan murid sekolah rendah.