IQRAM BIN JAMALUDIN SMK KELAPA SAWIT
ABSTRAK: Aspek seni bahasa merupakan aspek yang kurang menjadi keutamaan dalam menilai tahap penguasaan murid berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum Pembelajaran (DSKP) jika dibandingkan dengan tiga kemahiran utama lain yang perlu dinilai iaitu kemahiran mendengar dan bertutur, membaca, dan menulis.Maka kajian dan inovasi pembelajaran ini dilaksanakan bertujuan untuk membantu murid menguasai aspek seni bahasa terutamanya menghasilkan puisi moden (sajak). Kajian ini menggunakan metodologi kajian tindakan berdasarkan panduan adaptasi Model Kemmis & Mc Taggart (1988) melalui pengumpulan data menggunakan ujian pra dan pasca serta dikukuhkan lagi dengan kaedah pemerhatian, analisis dokumen, serta temu bual. Responden kajian terdiri daripada 11 orang murid tingkatan 2 Adil di SMK Kelapa Sawit, Kulai, Johor yang mengalami masalah menghasilkan sajak dan kurang bermotivasi dalam pembelajaran seni bahasa dan dilaksanakan selama tiga minggu. Pengkaji telah memperkenalkan inovasi I-KeTAi bagi menghasilkan puisi yang berkualiti dengan mudah dengan teknik penulisan FRIM dalam usaha membantu murid untuk meningkatkan kemahiran menulis sajak. Dapatan kajian telah menunjukkan impak positif dalam motivasi murid-murid untuk mendalami aspek seni bahasa serta terdapat peningkatan pencapaian PBD sekurang-kurangnya tahap 4 dalam kalangan murid yang terlibat. Implikasinya, terbukti bahawa inovasi bahan secara kreatif dan pemilihan teknik yang mudah bukan sahaja menarik minat murid untuk menguasai aspek seni bahasa, malah dapat meningkatkan penguasaan mereka dalam menghasilkan penulisan sajak yang berkualiti. Maka, pengkaji akan terus menngunakan teknik tersebut bagi kumpulan murid yang lain.
Kata Kunci: - Puisi Moden, Menulis Sajak, Teknik FRIM, I-KeTAi