DR. MOHD SAWARI BIN RAHIM INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS PENDIDIKAN ISLAM, BANGI
ECOLOOMIE
Tenunan merupakan satu aktiviti menenun benang yang terkandung dalam bidang Kraf Tradisional Pendidikan Seni Visual berdasarkan kurikulum sekolah rendah dan menengah serta peringkat IPTA/IPTS. Alat tenunan atau dikenali sebagai kek tenunan sebelum ini menggunakan kaedah lama iaitu menggunakan pemidang kayu dan paku. Alat lama ini dalam ukuran biasa 16 X 10 inci mengambil masa 2 hingga 3 jam untuk menyiapkan hasil tenunan. Penggunaan bahan tajam seperti paku pada pemidang kayu menjadi masalah utama keselamatan murid di samping kos dan pembuatan yang rumit, yang boleh mengganggu P&P murid di bilik darjah. Sehubungan dengan itu, ECOLOOMIE muncul sebagai alat inovasi bagi menyelesaikan masalah tersebut. Penghasilan alat inovasi ini menggabungkan 2 kaedah pembuatan iaitu moden dan manual. Kaedah moden alat ini menggunakan perisian komputer 3 Dimensi (bentuk ilusi) dan dijelmakan menjadi produk (bentuk realiti) menggunakan mesin cetakan 3D (3D Printer). Manakala kaedah manual menggunakan batang paip PVC sebagai struktur alat tenunan tersebut. Alat ini mudah dibentuk dan dipasang serta dikendalikan dengan efisyen disamping ia selamat digunakan oleh semua peringkat murid. Malah, kos penggunaan alat dan bahan dalam penghasilan ECOLOOMIE ini lebih murah dan mudah didapati di pasaran. Impaknya, hasil dapatan kajian menunjukkan penggunaan ECOLOOMIE berkesan memurnikan inovasi dengan lebih cepat iaitu hanya 45 minit berbanding kaedah lama di samping hasil tenunan motif yang kreatif. Justeru itu, pendekatan ini telah membuka dimensi baru serta inventif kepada murid melalui eksplorasi dan eksperimentasi yang menyeronokkan, menggunakan bahan-bahan dan alat yang mampu milik. Dalam masa yang sama, pendekatan ini dapat menangani masalah murid yang kurang menggemari aktiviti tenunan kerana rumit dan mempunyai banyak proses. Rumusnya, ECOLOOMIE telah mendedahkan kepada murid tentang pengalaman mencari, melihat, mensintesis, mengolah, menvisualisasikan imej tenunan dan menjalani proses penghasilan tenunan dengan cekap, efisyen, menjimatkan masa pdp dan menjamin kesihatan serta keselamatan murid di bilik darjah.